CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Nov 6, 2010

Gestapo's Entry: 21 tahun

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

~inilah nukilanku~ untuk Double Eleven

Sedar tidak sedar, usiaku telah mencecah 21 tahun. Sudah melangkah ke alam dewasa yang memerlukan kesedaran mengenai tanggungjawab. Bukan lagi sekadar tanggungjawab kepada pengajian akademik dan keluarga semata-mata, tetapi telah merangkumi tanggungjawab kepada agama dan negara. Skop tanggungjawab kita lebih luas dan dinamik. Memang kesedaran ini sepatutnya terpancul dari jiwa sejak akil baligh lagi, tetapi dengan usia 21 tahun inilah baru kita lebih matang dan boleh berfikiran dengan lebih luas dan jauh. Berdasarkan Perlembagaan Malaysia, dalam Perkara 119(1) menyatakan seseorang warga Malaysia berumur 21 berhak untuk  membuat keputusan memilih kerajaan melalui pilihanraya.


Kita perlu sedar, tanggungjawab untuk memilih kerajaan bukan suatu perkara yang boleh diambil mudah. Kerana kita perlu sedar, kerajaan itulah nanti yang akan mencorakkan struktur sosial dan kehidupan rakyat melalui undang-undang, memajukan ekonomi rakyat dan sebagainya.Selain itu  kerajaan yang dipilih itulah yang akan membina dan membentuk pemikiran kita dan anak-anak kita melalui sistem pelajaran yang diterapkan ke dalam minda seawal berumur 7 tahun di sekolah-sekolah hinggalah ke peringkat universiti. Kerajaan itulah juga yang menjaga keselamatan kita, bukan sahaja keselamatan dari aspek ketenteraan, namun keselamatan dari aspek keagamaan, hubungan antra kaum, nilai-nilai moral,jati diri, alam sekitar dan sebagainya. Kesimpulannya, kerajaan yang bakal dipilih itu, akan membentuk satu sistem yang mencanang kehidupan kita di dunia ini.


Dengan hujah-hujah di atas, jelaslah kepada kita bahawa dalam memilih sesuatu kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh dimain-mainkan, dilekehkan dan tidak di ambil peduli langsung. Kita perlu berhati-hati dalam memilih parti yang akan menerajui kerajaan. Kita perlu menganalisa dasar-dasar yang dibawa oleh setiap parti politik disamping melihat cara dan komitmen pemimpin-peminpin setiap parti politik dalam menjunjung dasar parti. Kerajaan sekarang adalah dari Barisan Nasional yang meliputi pelbagai parti yang kebanyakkan berteraskan kaum seperti UMNO, MCA, MIC dan komponen-kompenen kecil di Sabah dan Sarawak. Parti Keadilan Rakyat(PKR) , Parti Islam Semalaysia (PAS) dan DAP merupakan parti-parti pembangkang yang terbesar di Malaysia yang sekarang dibawah satu payung dinamakan Pakatan Rakyat (PR).  


Bagi saya,di samping masalah-masalah sosial yang kian meruncing, Negara Malaysia sekarang sedang menghadapi satu masalah yang lebih besar dan berbahaya jika tiada jalan penyelesaian dari sekarang. Kita dapat lihat golongan muda sekarang ini lebih mengelak dari mengambil tahu tentang keadaan politik negara.  Jika pemikiran seperti ini tetap dibiarkan, apa akan terjadi 5,10,20 tahun yang akan datang? Adakah generasi akan datang adalah generasi yang kurang prihatin tentang tanggungjawab terhadap agama dan negara?


Memang sikap golongan muda lebih untuk memberontak, jika ada salah silap yang dilakukan dalam arena politik negara, golongan muda akan mudah melenting dan membenci. Mereka akan terus membenci tanpa mengkaji terlebih dahulu secara mendalam apakah sebenarnya yang berlaku dan punca berlakunya keadaan itu. Kebanyakkan mereka juga hanya menerima sumber dari akhbar, televisyen dan sebagainya yang berkemungkinan dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu. Dengan kebencian yang memenuhi pemikiran golongan muda, mereka dengan mudah menolak untuk membicarakan apa-apa tentang isu politik dan menyempitkan pemikiran mereka dengan menyatakan politik itu “kotor”. Golongan muda akan terus menyerahkan tanggungjawab terhadap politik kepada generasi sebelumnya yang berumur sekitar 30 tahun keatas.


Selain dari itu, kita sering dihidangkan dengan perbuatan salah laku oleh pemimpin-pemimpin politik Negara di akhbar-akhbar dan sebagainya. Memang perkara tersebut akan membuatkan kita rasa jelik dan bosan dengan isu-isu seumpama itu. Tetapi kita perlu sedar ianya adalah kerana individu itu sendiri yang gagal memikul amanah yang diberikan kepada mereka mungkin disebabkan oleh faktor harta, pangkat, nafsu dan sebagainya. Kita tidak sepatutnya mempersalahkan parti politik itu kerana tiada parti politik yang mengwajibkan dan mahukan anggotanya terjebak dalam rasuah, pecah amanah, penipuan dan sebagainya. Adakah kita dengan mudah menolak tanggungjwab dalam membentuk kehidupan kita hanya kerana salah laku yang dilakukan oleh individu tertentu?Fikirkanlah wahai saudara-saudaraku. Kita sebagai golongan muda sepatutunya mengambil perkara tersebut sebagai iktibar dan berazam untuk membasmi perkara tersebutdari arena politik Negara. Tanggungjawab untuk membersihkan perkara buruk seumpama itu sebenarnya terletak di bahu kita sebagai bakal bakal pemimpin Negara suatu masa kelak.


Tidak dapat dinafikan juga, sejak dari kecil kita sering mendengar golongan dewasa memberi gambaran buruk kepada politik.Ibu dan ayah kita kadang-kadang membicarakan tentang politik di rumah. Bagi keluarga pihak pembangkang akan sentiasa bercakap perkara yang buruk tentang pihak kerajaan dan begitu juga sebaliknya. Sedar tidak sedar, Sejak dari kecil lagi telinga kita dikumandangkan tentang perkara yang negatif terhadap parti-parti politik. Ianya mempengaruhi corak pemikiran kita sejak dari kecil untuk membenci politik. Bahkan ada yang berpendapat politik adalah punca perpecahan di kalangan masyarakat.


Faktor perundangan juga mungkin menjadi punca mengapa golongan muda tidak berminat dalam mendalami dan mengkaji keadaan politik semasa. Perundangan seperti AUKU contohnya yang menghalang golongan muda terlibat dalam mana-mana parti politik dilihat cuba menyekat para pemuda Negara dalam menceburi bidang yang sangat penting ini. Tetapi apabila difikirkan, adakah dengan mengkaji dan mendalami politik boleh membuatkan kita alpa dalam pelajaran? Walhal bagi saya dengan politik kita sebenarnya dapat meluaskan dan mematangkan pemikiran kita. Kita akan disulami dengan semangat patriotisma dengan lebih tinggi dan menguatkan azam untuk membantu membangunkan Negara dari segala aspek.


Wahai saudara-saudaraku, janganlah kita menganggap politik itu tidak penting dan tidak memberi kesan kepada kehidupan kita. Jika kita sebagai golongan muda langsung tidak prihatin tentang politik Negara, siapa lagi yang akan prihatin? Adakah kita mengharapkan orang luar untuk memikirkan haluan masa depan Negara? Wahai saudaraku, walau seteruk mana pun keadaan politik Negara sekarang, kita perlu sedar, tiada lagi orang lain yang akan memperbetulkan dan meluruskan corak pemerintahan Negara selain dari kita sebagai anak-anak Malaysia bumi yang bertuah ini.


Jadi sebagai golongan muda, kita harus memahami dan menerapkan di dalam hati bahawa kita ada satu tanggungjawab yang sangat besar terhadap agama dan Negara. Dalam pemilihan parti politik, kita harus mengkaji dahulu dasar-dasar yang dibawa. Dasar-dasar tersebutlah yang akan mencorakkan pemerintahan Negara kita yang tercinta ini. Semoga nukilan ini dapat menyedarkan saudara-saudaraku yang sedang tidur, bahawa kita ada satu tanggungjawab yang besar ,sebagai  khalifah di bumi ini.

Sekian, Gestapo~

0 orang buat ketupat:

Post a Comment